Jika anda pernah duduk dalam bilik mesyuarat dan terfikir, “Saya tak layak berada di sini,” ketahuilah bahawa anda bukan keseorangan. Keraguan terhadap diri sendiri boleh menyelinap masuk walaupun dalam kerjaya yang paling cemerlang, membisikkan bahawa anda tidak cukup bagus, tidak cukup bijak, atau belum bersedia. Pengkritik dalaman yang berterusan ini sering dipengaruhi oleh sesuatu yang dialami secara senyap oleh ramai profesional: sindrom penyamar.
Walaupun sedikit keraguan boleh menjadikan kita lebih rendah diri dan terbuka untuk belajar, keraguan yang berlebihan boleh menghalang kemajuan kerjaya membuatkan kita mempersoalkan keupayaan sendiri dan menjauhkan diri daripada peluang yang berharga. Berita baiknya? Keyakinan diri bukan sesuatu yang anda perlu dilahirkan bersama—ia adalah sesuatu yang boleh dibina..
Teruskan membaca untuk ketahui lima cara praktikal bagaimana anda boleh membina keyakinan dalam kerjaya.
4 tanda anda sedang meragui diri sendiri di tempat kerja
Sindrom penyamar jarang sekali muncul dengan jelas, selalunya ia hadir dalam cara yang halus dan tidak disedari. Berikut beberapa tanda umum yang mungkin menunjukkan anda sedang berhadap dengannya:
-
Anda menahan diri daripada bersuara dalam mesyuarat walaupun anda mempunyai idea, soalan, atau pandangan yang bernilai.
-
Anda merendah-rendahkan pencapaian sendiri dan mengaitkan kejayaan kepada nasib, bukan kepada kemahiran atau usaha anda.
-
Anda terlalu memikirkan e-mel, mesej, atau perbualan, sering mempersoalkan cara anda berkomunikasi atau risau anda telah tersalah cakap.
-
Anda teragak-agak untuk mencuba peluang baharu seperti memohon kenaikan pangkat atau memimpin projek, kecuali jika anda benar-benar yakin anda layak 100%
5 cara praktikal untuk membina keyakinan diri dalam kerjaya
Membina keyakinan diri tidak bermaksud anda perlu menjadi paling lantang dalam bilik atau terlalu tegas. Ia bermaksud belajar untuk mempercayai suara anda sendiri, keputusan anda, dan tempat anda dalam ruang tersebut. Ia tentang mengenali kekuatan diri dan tidak membiarkan ketakutan terhadap kegagalan atau perbandingan dengan orang lain menghalang anda daripada pertumbuhan kerjaya.
Keyakinan diri terhasil melalui tindakan yang konsisten dan perubahan kecil dalam cara berfikir. Berikut lima strategi praktikal yang boleh membantu anda menanam kepercayaan terhadap diri sendiri dan mengawal pengkritik dalaman anda:
1. Simpan fail ‘kejayaan’
Apabila sindrom penyamar mengaburi ingatan anda, mudah untuk terlupa sejauh mana anda telah berjaya. Sebab itulah menyimpan fail “kejayaan” secara digital atau fizikal boleh menjadi sesuatu yang membawa perubahan.
Simpan e-mel, pujian, maklum balas, pencapaian—apa sahaja yang mengingatkan anda tentang kekuatan dan impak positif anda. Pada hari-hari sukar, fail ini menjadi sorotan yang mengukuhkan keyakinan diri dan menyokong perkembangan kerjaya anda dalam jangka masa panjang.
2. Namakan keraguan tersebut dan jangan biarkan Ia menguasai
Langkah pertama untuk mengatasi keraguan diri adalah dengan mengenal pasti ia sebagaimana adanya. Apabila muncul pemikiran seperti “Saya tak cukup bagus” atau “Saya tak layak berada di sini,” berhenti sejenak dan tanya diri anda: Adakah ini ketakutan atau kenyataan? Dengan berbuat demikian, anda mencipta jarak daripada pemikiran itu dan memberi ruang untuk mengambil semula kawalan serta mengimbas kembali kejayaan lalu.
Cara anda bercakap dengan diri sendiri mempengaruhi bagaimana anda tampil. Daripada terus mengkritik diri, cuba beri sedikit belas ihsan kepada diri sendiri dan gantikan dengan kata-kata peneguhan. Perubahan kecil dalam bahasa boleh membantu menyusun semula cara otak melihat cabaran bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang.
Contohnya, daripada berkata “Saya tak boleh buat”, cuba tukarkan kepada “Saya sedang belajar bagaimana untuk melakukannya”. Atau anda boleh meyakinkan diri semula dengan frasa seperti: “Saya pernah lalui perkara yang sukar sebelum ini. Saya mampu hadapinya”.
3. Katakan ya walaupun anda belum rasa 100% bersedia
Ramai antara kita menunggu sehingga benar-benar bersedia sebelum mengatakan ya kepada cabaran baharu. Hakikatnya, keyakinan selalunya datang selepas kita mengambil peluang itu.
Jika anda menolak peluang kerana takut gagal atau rasa tidak cukup layak, mungkin sindrom penyamar sedang mengawal keputusan anda. Katakan ya, ambil peluang itu, dan percayalah pada prosesnya. Jangan biarkan perfeksionisme menghalang anda daripada membuat kesilapan.
Jika seseorang melihat potensi dan percaya kepada anda hingga sanggup memberi peluang, mengapa anda sendiri tidak percaya? Kadangkala, anda sendiri akan terkejut dengan apa yang anda sebenarnya mampu lakukan.
4. Bina kemahiran yang menyokong keyakinan anda
Keyakinan diri lebih kukuh apabila dibina atas kemahiran sebenar. Melabur dalam pembangunan diri sama ada dengan mempelajari alatan baharu, meminta maklum balas, atau kekal ingin tahu dan mencuba perkara baharu—boleh membantu anda berasa lebih yakin dan berdaya saing. Anda boleh meneroka sumber percuma seperti Udemy, Coursera, Grow with Google atau LinkedIn.
Semakin anda cekap, semakin anda akan yakin untuk tampil dan menyumbang secara bermakna di tempat kerja. Ini dipanggil kitaran maklum balas positif. Apabila anda bertambah baik dan berinisiatif, anda mungkin akan menerima lebih banyak maklum balas positif, pengiktirafan atau peluang baharu, lalu mencetuskan kitaran dorongan yang berterusan.
Dorongan itu akan menguatkan lagi keyakinan diri anda, yang kemudiannya memotivasikan anda untuk terus berkembang. Dari masa ke masa, kemahiran dan keyakinan diri anda akan menjadi set alat yang kukuh untuk membantu anda membina asas yang teguh bagi pertumbuhan kerjaya yang mampan.
5. Berlagak yakin sehingga anda betul-betul yakin kemudian milikinya
Kita semua pernah dengar ungkapan “berlagak sampai berjaya”. Tapi bagaimana berlagak yakin boleh membantu anda mengatasi sindrom penyamar? Kadangkala, tindakan mudah untuk tampil yakin, walaupun di dalam hati anda ada rasa tidak pasti, boleh mengubah cara orang melihat anda dan cara anda melihat diri sendiri. Ia tentang memberi peluang kepada diri untuk mencuba, sementara keyakinan diri anda mengejar dari belakang.
Ingat, “berlagak yakin” bukan bermaksud menjadi orang lain. Ia bermaksud bertindak dengan kepercayaan bahawa anda mampu berkembang, bukan menyembunyikan siapa diri anda yang sebenar.
Keyakinan sejati bukanlah tentang berpura-pura tahu semuanya—ia adalah tentang mempercayai keupayaan anda untuk belajar, menyesuaikan diri, dan berkembang, sambil tetap tampil sebagai diri anda yang autentik.
Kesimpulan
Mengatasi sindrom penyamar bukan tentang menghapuskan rasa takut sepenuhnya, tetapi belajar untuk terus melangkah walaupun rasa takut itu masih wujud di latar belakang. Satu peringatan penting bahawa pertumbuhan kerjaya bukan hanya untuk mereka yang “nampak serba sempurna”, tetapi untuk sesiapa sahaja yang bersedia untuk tampil, mengambil langkah seterusnya, dan percaya bahawa mereka layak berada di meja keputusan.
Ingin mendapatkan nasihat yang disesuaikan untuk memajukan kerjaya anda? Lihat pelajaran percuma tentang kerjaya di aplikasi Naluri atau tempah sesi konsultasi bersama Pembimbing Eksekutif Naluri dan mula urus kesihatan kerjaya anda hari ini.
Jangan lepaskan peluang untuk memenangi baucar Shopee bernilai sehingga USD$600! Sertai Cabaran Kesihatan Ogos kami—‘The Path Of Progress’—hari ini! Tertakluk pada terma dan syarat.