fbpx

Blog

Ikuti perkembangan terkini kami

Refleksi Ramadaan: Apa Kata Anda?

/ / Penjagaan Kendiri

 

Ramadaan kembali berada di ambang pintu dan ramai Muslim telah mula membuat persiapan untuk berpuasa. Ramai di antara kita mempunyai tanggapan bahawa bulan Ramadaan merupakan masa di mana individu berasa penat dan tidak bersemangat dalam menjalani aktiviti harian. Namun begitu, bulan Ramadaan sepatutnya mempunyai impak yang positif terhadap kesihatan kita secara keseluruhan. Sekiranya kita memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin, ia akan membantu dalam penjanaan tenaga dan sejurusnya meningkatkan tahap produktiviti kita.

Bulan Ramadan merupakan bulan di mana semua umat Islam diwajibkan untuk berpuasa, iaitu dengan menahan diri daripada makan minum daripada terbitnya matahari sehingga terbenamnya matahari. Ianya bertujuan untuk mensucikan dan membersihkan jiwa dan menjinakkan hati serta insaf terhadap keperitan orang-orang yang tidak berkemampuan.

Menjelang bulan Ramadan, kami dari Naluri ingin berkongsi dengan anda pendapat peribadi kami terhadap bulan yang mulia ini:

 

Aina Nur Azmi: “Bulan Ramadan adalah bulan di mana saya dapat memberikan fokus kepada aspek rohani saya. Saya juga lebih berhati hati terhadap pemakanan saya.”

Makan berlebih-lebihan (overeating) merupakan isu yang biasa dihadapi selepas berpuasa. Ia merupakan reaksi normal badan kita untuk mengelak kelaparan kelak.

Makan berlebih-lebihan juga menunjukkan bahawa kita kehilangan kawalan terhadap pemikiran kita. Pemikiran kita mempunyai kawalan terhadap fungsi badan kita. Sekiranya kita berfikir negatif, kita akan mempunyai kecenderungan untuk kembali kepada tabiat pemakanan yang tidak sihat.

 

Illya: “Masa bagi saya untuk menyahtoksikan daripada segala negativiti, tabiat buruk dan makanan yang tidak sihat.”

Walaupun bulan puasa merupakan bulan yang agak memenatkan bagi Muslim, tetapi adalah penting bagi kita untuk bersenam. Bersenam ketika Ramadan sememangnya bukan masa untuk mengecapi rekod baharu tetapi ianya merupakan masa untuk kita mengekalkan rutin bersenam. Jadi, kita seharusnya terus dengan rutin bersenam kecuali senaman yang melelahkan secara fizikal.

Bersenam juga boleh mengasah tumpuan kita dan sejurusnya menyingkirkan pemikiran negatif. Ia turut menyumbang dalam pemakanan sihat kerana pemakanan yang sihat akan memastikan badan kita mempunyai tenaga yang mencukupi untuk aktiviti seharian termasuk bersenam.

 

Hanani: “Ia merupakan bulan yang saya dapat memanfaatkan untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan melalui aktiviti seperti membuka puasa bersama dan solat terawih. Bulan Ramadan juga merupakan masa yang sesuai bagi saya untuk refleksi diri.”

Sekarang, kita tenggelam dalam kesibukan kerjaya dan jarang mempunyai masa bersama dengan ahli keluarga. Bulan Ramadan merupakan masa yang ideal untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dengan pelbagai aktiviti seperti berbuka puasa dan solat terawih.

Menghabiskan masa dengan keluarga mempunyai impak yang positif terhadap emosi kita kerana ia akan menggalakkan komunikasi antara ahli keluarga dan memperkukuh hubungan sesama ahli keluarga.

 

Wan Mei: “Ia merupakan bulan umat Islam menjalankan ibadah puasa. Saya dapat melihat bazaar Ramadan yang dipenuhi oleh orang ramai.”

Kesibukan dalam kerjaya dan tidak mempunyai masa untuk memasak merupakan antara sebab juadah berbuka yang dijual di bazaar Ramadan menjadi pilihan orang ramai. “Sediakan duit sahaja, semuanya ada di bazaar Ramadan!”

Selain kebersihan dan kualiti makanan, adalah penting untuk memastikan makanan yang kita beli mempunyai nutrisi yang mencukupi. Pilihan makanan di bazaar Ramadan memang membuat kita rambang mata. Jadi, perancangan apa yang ingin dibeli sebelum ke bazaar Ramadan adalah penting supaya pilihan makanan dapat dibuat dengan lebih wajar, untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan makanan yang dibeli adalah berkhasiat serta sesuai dengan saiz hidangan yang diperlukan.

 

Terdapat pelbagai aspek yang perlu kita ambil hemat selain menjalankan ibadah puasa untuk memastikan kita boleh mengecapi kesihatan yang terbaik. Jom sihat dengan Naluri melalui bantuan pembimbing-pembimbing kesihatan professional kami kita menggunakan pendekatan peribadi kepada anda!

 

TOP